Penasihat Kelantan The Real Warrior FC (KTRW FC), Tan Sri Annuar Musa mendedahkan senarai 10 tonggak import pasukan itu untuk musim 2025/26.
10 tonggak import tersebut ialah Ifedayo Olusegun, Prince Aggreh, Damyan Damyanov, Hein Htet Aung, Albert Kang, Alexandre Yeoule, Muayad Al Khouli, Simen Lyngbo, Abdul Sesay dan Yusuf Sesay.
“Selamat datang ke Liga Super Malaysia dan selamat datang ke Kota Bharu, gelanggang kita sekarang. Saya akan bertemu dengan anda tidak lama lagi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Ifedayo, Aggreh dan Htet Aung bukan asing dalam kalangan peminat bola sepak Malaysia. Ini kerana ketiga-tiganya mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim lalu.
Ifedayo dan Aggreh pernah mewakili PDRM FC. Htet Aung pula beraksi untuk Negeri Sembilan FC secara pinjaman selama semusim dari Selangor FC.
Damyanov ialah penjaga gol Bulgaria dan graduan akademi kelab Ludogorets. Beliau dijangka bersaing dengan Azfar Arif dan Fikri Che Soh untuk posisi penjaga gol utama.
Yeoule dan Muayad pula dibawa masuk untuk memperkukuh posisi bek tengah. Lyngbo dan Yusuf pula dibawa masuk sebagai pemain serba boleh di bahagian pertahanan.
Pertahanan dilihat menjadi fokus Kelantan TRW selepas dibolosi 82 gol dalam liga musim lalu. Abdul Sesay pula diharap dapat mengetuai jentera serangan The Real Warrior.
Beberapa pemain import pasukan itu dilihat sudah tiba di Kota Bharu berdasarkan beberapa gambar yang dikongsikan pengurusan Kelantan TRW.