Johor Darul Ta’zim (JDT) merekodkan kekalahan kedua berturut-turut dalam aksi pra-musim setelah tumpas di tangan kelab Qatar, Al-Rayyan SC.
Aksi pra-musim JDT di bumi Sepanyol diteruskan lagi dengan turun bertemu kelab utama dari Qatar, Al-Rayyan SC sebagai lawan ke-6 selepas kali terakhir kalah kepada skuad Valencia Mestalla pada Isnin.
Beberapa pemain kembali memperkuat kesebelasan utama JDT selepas direhatkan sebelum ini antaranya 3 bintang warisan Malaysia, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Hector Hevel.
Hasrat Harimau Selatan bagi merekodkan kemenangan ke-3 dalam aksi pra-musim di Sepanyol kali ini bagaimanapun tak kesampaian apabila Julien De Sart menjaringkan gol buat Al-Rayyan.
Pemain tengah bertahan kelahiran Belgium itu muncul wira pasukan Al-Rayyan dari Qatar itu selepas berjaya mencipta jaringan tunggal ketika permainan berbaki 10 minit lagi bagi dimainkan.
Aksi di San Pedro Del Pinatar akhirnya ditamatkan dengan keputusan 0-1 memihak Al-Rayyan SC sekaligus memberi satu lagi kekalahan tipis buat pasukan JDT di bumi Sepanyol ini.
Ujian seterusnya menanti juara Liga Super 11 kali berturut-turut ini adalah menentang Al-Arabi di Oliva Nova pada 19 Julai hadapan untuk aksi pra-musim ke-7 di sana.