Media Argentina Sebut Enzo & Ibrahim Cora Bakal Ke JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) dilaporkan bakal menjadi destinasi buat dua pemain dari Argentina, Enzo dan Ibrahim Cora.

Jendela perpindahan kali ini menyaksikan JDT dilihat begitu rancak dan sibuk merekrut beberapa nama bagi menambah kekuatan pasukan menjelang saingan liga domestik dan Asia musim hadapan.

Beberapa pemain baharu tempatan dan import telah dibawa masuk oleh JDT antaranya Ibrahim Manusi, Jon Irazabal dan Antonio Glauder demi mengekalkan momentum juara 4 trofi musim lalu.

Terkini, laman berita Argentina, El Editor Platense menyebut nama dua pemain bersaudara, Enzo dan Ibrahim Cora bakal sertai JDT dari San Lorenzo de Villa Castells yang beraksi di Platense Amateur League.

“Liga Amatur Platense penuh dengan pelbagai kisah pemain yang berhajat untuk menjadi profesional kerana ada mata yang memerhati di mana-mana.”

“Jika seseorang pemain itu melakukan yang terbaik, peluang pasti akan tiba.”

“Itulah yang berlaku kepada adik-beradik Cora iaitu Enzo dan Ibrahim, yang kini berpeluang melebarkan sayap ke Malaysia, dan menandatangani kontrak serta menikmati bola sepak di sudut yang berbeza.”

“Mereka akan bermain bersama kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) FC,” lapor laman berita dari Argentina itu.

Tambahan itu, pihak kelab San Lorenzo de Villa Castells turut sama mendoakan kejayaan buat Enzo dan Ibrahim Cora yang bakal membuka perjalanan baharu di Malaysia menerusi satu hantaran di Instagram.

”Dari Castells ke Malaysia, semoga maju jaya Enzo dan Ibrahim Cora.”

View this post on Instagram

A post shared by MattiasaguirreFT (@mattiasaguirreft)

Walau bagaimanapun, masih belum ada pengumuman rasmi dari pihak JDT berkenaan ketibaan dua pemain bersaudara, Enzo dan Ibrahim Cora ini ke pasukan Harimau Selatan bagi musim akan datang.