Selangor mencatatkan kemenangan kedua dalam aksi pra-musim di Thailand selepas menumbangkan Burapha United.
Selepas dua minggu berada di Thailand serta mengharungi 4 aksi pemanas badan, skuad Selangor menutup kempen pra-musim dengan turun berdepan Burapha United pada Khamis.
Kesebelasan utama Selangor pada aksi yang berlangsung di Stadium 80th Vassa ini menyaksikan Faisal Halim mengetuai barisan pemain selain tonggak penting antaranya Nooa Laine dan Chrigor.
Aksi di babak pertama berlangsung tanpa sebarang jaringan yang dapat dihasilkan oleh kedua-dua pasukan membuatkan Selangor terpaksa akur terlepas peluang untuk memimpin di awal aksi.
Kebuntuan jaringan akhirnya terlerai di babak kedua apabila pemain gantian, Harry Danish mencetak gol untuk Selangor berada di hadapan sekaligus membantu pasukan mencatat kemenangan.
Selepas 5 aksi ujian di Thailand, Selangor yang dikendalikan oleh Katsuhito Kinoshi beraksi cemerlang merekodkan dua kemenangan ke atas kelab Burapha United dan Bangkok FC.
Walau bagaimanapun, Sang Gergasi Merah turut mencatat dua kekalahan kepada Ratchaburi dan Chonburi dalam dua perlawanan awal sebaik tiba di bumi Thailand pada minggu lalu.
Satu lagi perlawanan pemanas badan Selangor di Thailand ini berakhir dengan keputusan seri selepas diikat seri oleh kelab divisyen 2, Kasetsart FC meski memimpin aksi hasil jaringan Chrigor.