Rodtang Jitmuangnon Sertai Kelab Divisyen 3 Thailand
UltraSukan
Phichit United

Jaguh Muay Thai Thailand, Rodtang “The Iron Man” Jitmuangnon mencipta kejutan dengan menyertai kelab divisyen tiga Thailand, Phichit United.

Perpindahan tersebut diumumkan pengurusan kelab itu di platform rasmi mereka. Rodtang menyertai Phichit dengan kontrak selama dua tahun.

“(Rodtang) “The Iron Man” Jitmuangnon ditandatangani untuk menyertai pasukan. Kontrak selama dua tahun. Bermain di Thai League 3 Zon Utara.

“(Beliau) menggunakan nombor 23 iaitu nombor tarikh lahir “The Iron Man”,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Berita ini menjadi bualan ramai peminat bola sepak Thailand. Meskipun begitu, belum ada pengesahan rasmi baik daripada Rodtang mahupun ONE Championship.

Ini kerana Rodtang memiliki kontrak eksklusif dengan ONE Championship. Selain itu, beliau juga dilihat fokus untuk mendapatkan semula gelaran juara dunia ONE Championship dalam kategori flyweight.

Hasrat ini dinyatakan sendiri Rodtang dalam satu hantaran di Facebook. “Saya sudah bersedia untuk mendapatkan posisi ini semula,” katanya.

Rodtang masih segar daripada kejayaan menewaskan ikon hebat Jepun, Takeru Segawa dalam ONE 170 pada Mac lalu.