Manchester United akhirnya berjaya mendapatkan khidmat peledak berbisa Brentford, Bryan Mbeumo.
Wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano mendedahkan United bersetuju membayar yuran perpindahan sebanyak £70 juta (RM399 juta).
Pengumuman ini sekaligus memberi kelegaan kepada pengurus The Red Devils, Ruben Amorim. Ini kerana Mbeumo dilihat mampu menambah bisa di bahagian serangan pasukan itu.
Ini disokong dengan 20 gol yang dijaringkan beliau dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2024/25.
Mbeumo menjadi pemain keempat yang menyertai United. Sebelum ini, United mendapatkan khidmat penyerang Wolverhampton Wanderers, Matheus Cunha.
The Red Devils juga mendapatkan dua pemain muda iaitu bek kiri Paraguay, Diego Leon dan bekas penyerang Le Havre, Enzo Kana-Biyik.
Kini, fokus United ialah menjual pemain yang tidak diperlukan oleh Amorim. Antara pemain yang berada dalam senarai tersebut ialah Marcus Rashford, Jadon Sancho, Alejandro Garnacho dan Antony.
United perlu menjual pemain sebelum berbelanja untuk mendapatkan pemain lain. The Red Devils dilaporkan mahu mendapatkan bek kiri Brighton, Pervis Estupinan.
United juga berharap dapat merealisasikan perpindahan penjaga gol Royal Antwerp, Senne Lammens. Ini kerana Lammens dilihat mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan penjaga gol, Andre Onana.
Onana ketika ini terpaksa berehat selepas mengalami kecederaan hamstring. Sekiranya United tidak berbelanja mencari pengganti beliau, Altay Bayindir dijangka menggalas peranan sebagai penjaga gol utama.