Pra-Musim: Kuching City Cemerlang Tumpaskan PSM Makassar
MakanBola
Kuching City FC

Kuching City FC membuka jelajah pra-musim di Indonesia dengan langkah kanan apabila menewaskan PSM Makassar 1-0 dalam aksi persahabatan tertutup.

Jelajah pra-musim di Indonesia dilihat sebahagian daripada usaha Aidil Sharin Sahak memantapkan barisan pemain pasukan itu sebelum musim 2025/26 bermula.

Juku Eja menjadi pembuka tirai jelajah The Cats di Indonesia. PSM Makassar dilihat bukan calang-calang kerana pernah bergelar juara liga Indonesia pada musim 2022/23.

Situasi ini mendorong Aidil menurunkan barisan pemain terkuat bagi menghadapi cabaran anak buah Bernardo Tavares itu.

Antara pemain yang diturunkan beliau dalam kesebelasan utama ialah Ramadhan Saifullah, Jimmy Raymond, Haziq Nadzli, Gabriel Nistelrooy dan Hazwan Bakri.

Selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, Kuching City tampil lebih kemas selepas rehat.

The Cats akhirnya berjaya meraih kemenangan menerusi Ramadhan. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Selepas ini, Kuching City akan menentang satu lagi pasukan Super League, Persita Tangerang pada 20 Julai. Aksi ini juga merupakan aksi persahabatan tertutup.