Japan Open: Pearly Tan-M. Thinaah Ke Final, Singkirkan Matsuyama-Shida
UltraSukan
BA Malaysia

Beregu wanita utama Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah mengesahkan kemaraan ke final Japan Open 2025.

Pearly-Thinaah mara dengan menewaskan beregu tuan rumah yang juga beregu kedua dunia, Nami Matsuyama dan Chiharu Shida.

Beregu Malaysia itu berharap dapat mengakhiri rekod buruk mereka dengan beregu nombor dua dunia itu. Berdasarkan rekod semasa, Matsuyama-Shida berjaya menewaskan Pearly-Thinaah dalam lima aksi terakhir mereka.

Ini termasuk pertemuan dalam saingan Sudirman Cup 2025. Matsuyama-Shida menewaskan Pearly-Thinaah dengan keputusan 21-18, 18-21, 21-18.

Aksi separuh akhir ini juga dianggap istimewa buat Matsuyama-Shida. Ini kerana ini saingan Japan Open terakhir mereka sebagai beregu sebelum berpisah selepas saingan BWF World Championship.

Set pertama menyaksikan beberapa kesilapan yang dilakukan Matsuyama-Shida membolehkan Pearly-Thinaah mendahului pada kedudukan 11-4.

Kesilapan demi kesilapan terus menggugat peluang beregu Jepun itu mengejar beregu ketiga dunia itu. Ini membolehkan Pearly-Thinaah meraih kemenangan dengan keputusan 21-13.

Set kedua menyaksikan kesilapan mudah yang dilakukan juara All England Open itu memberi ruang kepada beregu Malaysia mendahului 11-6.

Pearly-Thinaah terus mempertahankan kelebihan mata yang dimiliki sebelum menang dengan keputusan 21-11.

Pearly-Thinaah bakal berdepan salah seorang daripada dua wakil China di pentas final. Satu lagi aksi separuh akhir menemukan Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dengan Liu Sheng Shu-Tan Ning.