Berita Pemain Forest Ke Kelab Gergasi Malaysia Tersebar Luas
MakanBola
AUFC/JST

Berita bekas pemain kelab terkemuka Liga Perdana Inggeris (EPL) yang beraksi buat Nottingham Forest menyertai kelab terkemuka Malaysia tersebar luas.

Tonggak berusia 30 tahun itu secara rasminya telah meninggalkan kelabnya di A-League iaitu Adelaide United selepas beraksi hampir empat musim di sana.

Tonggak versatil itu dalam satu kenyataan menyatakan rasa sedih namun mahu mendapatkan cabaran baharu untuk beraksi di luar negara.

“Ini adalah keputusan yang sangat sukar, kerana saya benar-benar menyayangi bandar ini, Kelab ini, dan orang di sini. 

“Adelaide berasa seperti di rumah sendiri tetapi ini adalah peluang untuk keluarga saya dan saya yang tidak boleh kami lepaskan,” katanya. 

Clough juga menghargai setiap sokongan yang diterimanya di sini dan membentuknya sebagai seorang pemain sehingga kini.

“Saya amat berterima kasih kepada peminat atas kenangan dan menjadikan masa saya di sini begitu istimewa. 

“Saya benar-benar berharap pintu sentiasa terbuka untuk kembali, kerana saya akan sentiasa menjadi sebahagian dari pasukan ini,” tambah Clough.

Laporan daripada wartawan Australia, Robbie Cornthwaite mengesahkan bahawa terdapat minat daripada The Red Giants untuk mendapatkan pemain ini.

“Pemain Adelaide United, Zach Clough telah menyertai pasukan gergasi Liga Super Malaysia, Selangor FC,” katanya di laman X.

Clough sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa kelab terkemuka seperti Bolton (2014-2018) Nottingham Forest (2017-2019) dan juga Wigan (2021).

Setakat ini, masih tiada sebarang pengesahan rasmi berhubung perpindahan ini daripada pihak kelab dan juga pemain.