Melaka FC terlepas peluang menambah satu lagi kemenangan pra-musim apabila diikat Johor Darul Ta’zim (JDT) II 2-2 pada 19 Julai lalu.
Aksi persahabatan tertutup ini memberi peluang buat kedua-dua pasukan memantapkan barisan pemain sebelum kempen musim 2025/26 bermula.
JDT II bakal mengharungi kempen Liga A1 Semi-Pro. Melaka FC pula salah satu daripada tiga pendatang baru Liga Super musim 2025/26.
Bekas penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri Md. Fauzi meletakkan Melaka di hadapan seawal minit ketiga. JDT II pantas menyamakan kedudukan menerusi Syukur Fariz Januri tujuh minit selepas itu.
Melaka sekali lagi berada di hadapan pada minit ke-77. Walau bagaimanapun, Aznil Hafiz Azhar memastikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga tamat perlawanan.
Selepas aksi ini, Melaka akan mengharungi kem latihan pra-musim di Perak dan Kedah dari 21 hingga 26 Julai ini.
Sepanjang tempoh itu, anak buah K. Devan akan menentang Kedah FA pada 22 Julai. Ini disusuli aksi menentang Manjung City FC pada 24 Julai dan Perak FA (25 Julai).