Pendatang baru Liga Super, Imigresen FC terlepas khidmat dua bekas pemain kebangsaan.
Sebelum ini, pasukan yang diberi jolokan The Mighty Tigers itu dilaporkan bakal merekrut bekas penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Syafiq Ahmad dan bekas pemain tengah Sri Pahang FC, Azam Azih.
Sejak itu, tiada perkembangan baharu membabitkan khabar perpindahan dua pemain tersebut.
Syafiq kini berkelana ke Brunei selepas menerima tawaran Brunei DPMM FC. Beliau menjadi pemain tempatan ketiga menyertai kelab itu selepas Fairuz Zakaria dan Tommy Mawat Bada.
Azam pula dilaporkan sedang mengadakan rundingan dengan juara Liga A1 Semi-Pro, Melaka FC. Khabar tersebut dikongsikan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
“Selepas Syafiq Ahmad, Azam Azih pula difahamkan tidak lagi ke Imigresen dan bekas kapten Pahang itu kini dalam rundingan sertai Melaka,” katanya di X.
Sekiranya perbincangan tersebut berjalan lancar, Azam bakal menjadi pemain terbaru yang memperkuat pasukan yang dibimbing K. Devan itu.
Meskipun terlepas khidmat Azam dan Syafiq, The Mighty Tigers dilaporkan sibuk mengadakan perbincangan untuk merekrut pemain baru.
Antara pemain yang dilaporkan berada dalam radar mereka ialah Zarif Irfan Hashimuddin, Azim Al Amin Kamaruddin, Aiman Yusni dan Shivan Pillay.