MPFL: Gaduh Besar & 5 Kad Merah Cemari Aksi USMKK vs PFA Odin Sarawak
UltraSukan
Jen TV Arena

Aksi terakhir Divisyen 2 MPFL yang panas antara USMKK dan PFA Odin Sarawak menyaksikan lima kad merah dilayangkan oleh pengadil.

Perlawanan ini penting bagi USMKK kerana mereka memerlukan kemenangan atau keputusan seri jika ingin bergelar juara Divisyen 2.

Aksi ini mula panas apabila pemain PFA Odin Sarawak, Richman Jack Damsey tidak berpuas hati dengan tindakan pemain USMKK, Ahmad Firdaus Roslan menendangnya.

Ini mengakibatkan pergaduhan besar tercetus antara pemain dan barisan kejurulatihan kedua-dua pasukan. Insiden ini berlaku pada minit ke-13 separuh masa pertama.

Pengadil mengambil masa beberapa minit untuk mengawal keadaan. Selepas berjaya menenangkan keadaan, kad merah dilayangkan kepada tiga pemain.

Dua pemain PFA Odin Sarawak, Radziman Radzuan dan Georgi Kinkladze Tom serta pemain USMKK, Mohamad Al-Afiq Md Basri masing-masing menerima kad merah.

Pengadil turut melayangkan kad merah kepada koordinator USMKK, Ahmad Syafwan Awang dan jurulatih kecergasan PFA Odin Sarawak, Zamri Amat.

Pada akhirnya, kedua-dua pasukan terikat 6-6. Keputusan itu sudah cukup buat USMKK bergelar juara, satu mata mengatasi pencabar terdekat, Terengganu.