Aaron Chia-Wooi Yik Kini Beregu Lelaki Utama Malaysia
UltraSukan
BAC 2025

Bekas juara dunia 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik kembali menjadi beregu lelaki utama Malaysia.

Ini berdasarkan perubahan ranking dunia terbaru yang diumumkan Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF).

Perubahan ranking terbaru untuk beregu lelaki menyaksikan Aaron-Wooi Yik kini bergelar beregu kedua terbaik dunia. Mereka kini mengumpul 89,870 mata.

Aaron-Wooi Yik memintas rakan senegara yang juga finalis Japan Open 2025, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani. Sze Fei-Izzuddin jatuh ke tangga ketiga dengan 89,440 mata.

Seperti diramal, juara Japan Open, Kim Won-ho dan Seo Seung-jae kini bergelar beregu nombor satu dunia. Beregu Korea Selatan itu kini mengumpul 95,155 mata, 6,000 mata di hadapan dua beregu negara.

Man Wei Chong dan Tee Kai Wun kekal menjadi wakil ketiga Malaysia dalam kelompok 10 beregu lelaki terbaik dunia. Wei Chong-Kai Wun kekal di tangga ketujuh dengan 71,843 mata.

Perubahan ranking ini dijangka membakar semangat barisan beregu negara yang akan menyertai China Open 2025 terutama Aaron-Wooi Yik.

Bekas juara dunia itu berharap dapat bangkit selepas kecundang di pusingan pertama Japan Open baru-baru ini.