Pengendali Malayan Tigress B-20, Cameron Ng percaya pemain Malaysia yang berpangkalan di luar negara mampu memberi nilai tambah kepada pasukan itu.
Kempen kelayakan Piala Asia Wanita B-20 menyaksikan empat pemain yang berpangkalan di luar negara dipanggil Cameron.
Empat pemain tersebut ialah Kanchenjeet Kaur Nanua (Miami Dades Sharks), Lauren Hoh Ruyi (Trinity College), Tegen-Su-Yin Butler dan Dishanna Nagarajan Pillay.
Kanchenjeet, Lauren dan Tegen berpangkalan di Amerika Syarikat. Dishanna pula beraksi di bumi Kanada.
Cameron percaya kehadiran empat pemain ini bukan saja dapat meningkatkan kualiti pasukan itu. Malah, ini memberi skuad Malayan Tigress B-20 perspektif dan pengalaman baru di atas padang.
“Secara peribadi, saya berpendapat pemain tempatan memiliki kualiti cukup baik. Namun, apabila pemain dari luar negara menyertai pasukan, mereka membawa dimensi dan pengalaman berbeza yang mampu memperkayakan corak latihan serta meningkatkan intensiti permainan.
“Pengalaman yang mereka bawa itu amat penting untuk membantu rakan sepasukan tempatan untuk mendapat pengalaman baru. Itu yang kita nak daripada pemain luar,” katanya.
Skuad wanita Malaysia B-20 bakal mengharungi kempen kelayakan yang bermula pada 6 Ogos ini.
Malayan Tigress B-20 berada dalam Kumpulan F bersama tiga lagi pasukan iaitu Jepun, Iran dan Guam. Pasukan itu turut mengatur aksi persahabatan dengan Singapura sebagai persiapan menghadapi kumpulan itu.