Dua tonggak import baharu bakal menambah kekuatan Negeri Sembilan FC bagi menghadapi musim 2025/26.
Perkara ini turut disahkan pengendali Sang Rusa, Nidzam Jamil berhubung perkara itu. Beliau memaklumkan dua pemain itu akan melapor diri pada minggu hadapan.
“Saya fikir kita ada dua lagi (pemain import baharu) yang akan melapor diri pada minggu hadapan,” katanya baru-baru ini.
“Tapi saya tak boleh beritahu siapa (dua pemain import baharu itu). Cuma ada dua lagi (pemain import baharu) yang akan mengisi beberapa posisi akan tiba pada pertengahan minggu depan.”
Ini bermakna Negeri Sembilan bakal memiliki lapan pemain import bagi menghadapi kempen musim hadapan.
Sebelum ini, Sang Rusa telah membawa masuk Joseph Esso, Mio Tsuneyasu, Alex Agyarkwa dan Jovan Motika. Negeri Sembilan turut mengekalkan khidmat Takumi Sasaki dan An Sang-su.
Esso mula mempamerkan bisanya apabila membantu Negeri Sembilan menjulang trofi Piala Serumpun pada 21 Julai lalu.
Sang Rusa menewaskan lawan mereka dari Indonesia, Semen Padang 3-0. Selain Esso, Zainal Abidin Jamil dan N. Javabilaarivin turut mencetak nama sebagai penjaring.