Zurich Liga 7×7 All Stars Cetus Era Baharu Bola Sepak & Hiburan Malaysia
MakanBola
Liga X

Kejohanan sulung Zurich Liga 7×7 All Stars 2025 menutup tirai dengan penuh meriah apabila pasukan Bangsa Bola muncul juara selepas menewaskan Team Wizards dalam aksi final mendebarkan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Dengan kehadiran hampir penuh dan sorakan gemuruh penonton, kejohanan ini bukan sekadar perlawanan bola sepak tetapi satu festival yang menggabungkan sukan, komuniti dan hiburan dalam satu pengalaman luar biasa. Ia sekali gus mencipta penanda aras baharu untuk acara sukan di Malaysia.

Empat pasukan bertanding dalam format liga berkumpulan sebelum dua terbaik mara ke final. Setiap pasukan diterajui tokoh terkemuka dan dikapten oleh legenda bola sepak dunia.

Team Zurich diketuai Junior Cho selaku CEO Zurich Malaysia dan dikapten oleh Dimitar Berbatov. Team Wizards dipimpin Khairy Jamaluddin bersama Ryan Giggs sebagai kapten.

Team Harimau pula diterajui Tan Sri Tony Fernandes dan Safee Sali sebagai kapten. Manakala pasukan juara, Bangsa Bola dipimpin oleh Tan Sri Nazir Razak dan dikapten oleh John Terry.

Selepas enam perlawanan sengit, Bangsa Bola dan Wizards muncul dua terbaik dan bertemu dalam perlawanan penentuan juara. Aksi seimbang penuh intensiti akhirnya dimenangi oleh Bangsa Bola yang menjulang trofi edisi pertama.

Menurut Pengarah Liga X Sdn Bhd, Adam Azman, kejayaan penganjuran ini membuktikan sambutan luar biasa rakyat Malaysia terhadap bola sepak dan acara gaya hidup.

“Kejayaan penganjuran edisi pertama Zurich Liga 7×7 All Stars amat menggembirakan. Kehadiran luar biasa dan suasana penuh semangat membuktikan bahawa rakyat Malaysia memang benar-benar cintakan bola sepak.”

Perlawanan sangat kompetitif dan tahap kemahiran yang ditampilkan para legenda menaikkan lagi mutu kejohanan. Penyertaan pemain tempatan dan pengaruh media sosial turut membantu menjadikan festival ini begitu bertenaga.”

“Ini seakan permulaan kepada sesuatu yang lebih besar dan kami sangat teruja untuk membina momentum ini pada masa depan,” katanya.

Selain aksi di padang, acara ini turut menyajikan pelbagai aktiviti menarik sepanjang hari termasuk larian komuniti, bazar gaya hidup oleh Markas x Pasar Seloka, cabaran Teh Tarik bersama legenda bola sepak, serta persembahan muzik daripada Jemput Dengar, The Impatient Sisters dan Midnight Fusic.

Zurich Malaysia selaku penganjur turut berkongsi keterujaan terhadap sambutan acara ini yang menampilkan ramai penonton atau peminat dalam sukan bolasepak ini walaupun dalam versi baharu iaitu 7×7.

“Sebagai pengurus Team Zurich, saya berbangga melihat semangat berpasukan dan nilai komuniti yang menjadikan kejohanan ini begitu istimewa. Acara ini selari dengan komitmen kami untuk membawa orang ramai bersama melalui nilai dan tujuan yang dikongsi.Kami

Kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada perjalanan ini dan tidak sabar untuk meneruskannya pada masa akan datang,” ujar Junior Cho, CEO Zurich Malaysia.

Zurich Liga 7×7 All Stars 2025 direalisasikan dengan kerjasama pelbagai rakan strategik seperti Media Prima Berhad, EON Berhad, AirAsia MOVE, Santan, Hausboom, Puma, Challo Sports Club, GamesMY Esports dan banyak lagi.

Acara sulung ini menjadi titik permulaan yang menjanjikan untuk meletakkan Zurich Liga 7×7 All Stars sebagai acara tahunan penting dalam kalendar sukan dan hiburan Malaysia.