Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) berpotensi bertemu Pahang Rangers di separuh akhir Malaysia Futsal Cup 2025.
Saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) baru sahaja menutup tirai dengan JDT dinobatkan selaku juara sekaligus mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada musim lalu.
JDT yang dibimbing oleh Juan Antonio Miguel Garcia meraih 39 mata daripada 14 perlawanan hasil 13 kemenangan untuk meninggalkan pesaing, Selangor di tempat kedua dengan 36 mata.
Kini, fokus peminat tertumpu kepada saingan Malaysia Futsal Cup yang bakal membuka tirai bermula pada 26 Julai ini bagi pusingan suku akhir yang akan melibatkan sebanyak 8 buah pasukan.
6 pasukan terbaik dalam saingan MPFL Divisyen 1 iaitu JDT, Selangor, Pahang Rangers, Sabah, KL City dan TOT United akan bersama USMKK dan Terengganu dari Divisyen 2 bagi merebut gelaran juara.
Sesi undian menyaksikan JDT selaku juara bertahan Malaysia Futsal Cup ini akan menentang TOT United di pusingan suku akhir manakala Pahang Rangers bakal berdepan Terengganu.
Menariknya, kedua-dua pasukan gergasi ini berada di laluan yang sama dalam perjalanan ke final nanti dan dijangka akan bertembung di separuh akhir jika berjaya atasi lawan masing-masing.
Manakala bagi naib juara musim lalu, Selangor pula tampak memiliki laluan yang lebih cerah ke final dengan pasuka di tangga ke-5 MPFL, KL City akan menjadi lawan di suku akhir nanti.
Jika menang, Selangor yang dibimbing oleh Edgar Baldasso bakal menentang pemenang antara Sabah atau juara MPFL Divisyen Dua, USMKK di peringkat separuh akhir sebelum ke final.
Pusingan suku akhir akan berlangsung dengan format timbal balik bermula 26 dan 28 Julai ini sebelum perlawanan kedua pada 2 dan 3 Ogos hadapan bagi menentukan 4 pasukan ke separuh akhir.
Di separuh akhir, kesemua 4 pasukan masih bermain dengan format timbal balik pada 9 dan 16 Ogos nanti sementara aksi final Malaysia Futsal Cup akan berlangsung di N9 Arena, Nilai pada 23 Ogos 2025.