Pemain beregu lelaki negara, Goh Sze Fei menjawab khabar angin yang mengatakannya dan Nur Izzuddin bakal kembali ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Terdahulu, timbul khabar angin mendakwa Izzuddin-Sze Fei bakal kembali ke pangkuan BAM setelah meninggalkan kem badan induk tersebut pada pertengahan Ogos 2024 yang lalu.
Walau bagaimanapun, Goh Sze Fei dalam suatu hantaran di laman Instastory telah menjelaskan situasi sebenar bahawa mereka masih selesa bergelar pasangan beregu profesional negara.
Malah, kemaraan Izzuddin-Sze Fei ke aksi final Japan Open pada Ahad lalu juga menguatkan keyakinan dua pemain ini untuk terus bekerja keras bersama Teo Kok Siang sebagai jurulatih.
“Kami mahu menjelaskan bahawa kami berpuas hati dengan status kami selaku pasangan profesional.”
“Kejayaan mara ke final Terbuka Jepun telah menguatkan lagi keyakinan dan semangat bagi terus meningkatkan prestasi di bawah kendalian jurulatih kami, (Teo) Kok Siang,” tulis Sze Fei di laman Instastory.
Tambah beliau, hubungan mereka bersama pihak BAM masih dalam keadaan baik dengan segala sokongan yang diberikan namun itu tidak bermaksud Izzuddin-Sze Fei akan kembali ke badan induk itu.
“Hubungan kami dengan BAM kekal baik, dan kami sentiasa menghargai sokongan yang telah diberikan oleh pihak BAM sepanjang tempoh kami bersama mereka.”
“Kami berharap penjelasan ini dapat menghentikan khabar angin yang tidak benar di luar sana,” jelas pemain berusia 28 tahun itu.

Sepanjang bergelar pasangan profesional, Izzuddin-Sze Fei telah berjaya merangkul pelbagai kejuaraan antaranya juara Japan Open 2024, China Open 2024 dan India Open 2025 lalu.
Malah, Izzuddin-Sze Fei mengecapi nikmat bergelar beregu nombor satu dunia beberapa minggu lalu sebelum akhirnya dipintas oleh jaguh Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.