Brunei DPMM dalam perbincangan untuk membawa masuk penyerang prolifik dari Palestin, Mahmoud Eid bagi mengisi kuota slot pemain Asia untuk mengharungi saingan Liga Super musim 2025-2026.
Ini selepas kelab itu mengesahkan sedang mengadakan perbincangan dengan penyerang tajam yang berusia 32 tahun tersebut.
“DPMM sedang melakukan rundingan bersama dengan penyerang Palestin tersebut yang bersama Bangkok Glass United selama tiga tahun di Liga Thai 1. Sepanjang 3 musim di sana, Mahmoud telah bermain sebanyak 63 perlawanan dan menjaringkan 31 jaringan sepanjang berada di Liga Thailand.” katanya
Mahmoud Eid merupakan pemain kacukan Palestin dan Sweden yang memulakan karier di banyak kelab – kelab tempatan Sweden.
Selain itu, Mahmoud juga pernah beraksi di Liga Indonesia, Norway, Qatar, dan Bahrain. Mahmoud mempunyai pengalaman yang luas di Liga Asia sekaligus memberikan kelebihan untuk mengadaptasi cuaca di sekitar Asia Tenggara.
Mahmoud mempunyai 298 penampilan beraksi di kelab dan 88 gol manakala 53 bantuan jaringan sepanjang di beberapa kelab yang disertai.
Ini membuktikan Mahmoud bakal menjadi pemain yang berbahaya sekiranya melengkapkan perpindahan ke Brunei DPMM.
Mahmoud turut membuat debut pertama untuk skuad Kebangsaan Palestin pada 21 Disember 2014 manakala merekodkan 22 penampilan bersama skuad Kebangsaan Palestin.
Untuk makluman, Brunei DPMM bakal membuka tirai perlawanan Liga Super musim 2025-2026 dengan menentang PDRM di Stadium Selayang manakala bakal beraksi bertemu Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya bagi aksi kedua.