Piala Mandiri B-23: Vietnam Lolos, Kemboja Tersingkir
MakanBola
FF Cambodia

Vietnam mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala Mandiri ASEAN B-23 apabila menewaskan Kemboja dalam aksi terakhir Kumpulan B.

Kedua-dua pasukan memburu kemenangan dalam aksi terakhir kumpulan. Ini kerana hanya kemenangan saja yang menjamin kemaraan ke separuh akhir selaku juara Kumpulan B.

Sebelum perlawanan bermula, kedua-dua pasukan bertafakur selama seminit. Ini susulan tragedi bot karam di Quang Ninh, Vietnam baru-baru ini.

Babak pertama menyaksikan Vietnam yang dibimbing jurulatih Korea Selatan, Kim Sang-sik berusaha mencari gol awal.

Gandingan penyerang Hoang Anh Gia Lai (HAGL), Nguyen Quoc Viet dan pemain berdarah Vietnam-Russia, Viktor Le menjadi taruhan Sang-sik merobek gawang Kemboja.

Kemboja hampir meraih gol pendahuluan menerusi Chou Sinti seawal minit ketujuh. Malangnya, percubaan beliau dinafikan Tran Trung Kien.

Rakan sepasukan Quoc Viet di HAGL, Pham Ly Duc meletakkan Vietnam di hadapan pada minit ke-35. Bek tengah berusia 22 tahun itu pantas menanduk bola ke arah gawang Kemboja.

Vietnam berusaha memburu gol tambahan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, pengendali Kemboja dari Jepun, Koji Gyotoku membuat dua pertukaran. Beliau memasukkan Mon Rado dan Sin Sovann Makara sebagai pemain gantian.

Kemboja nyaris menyamakan kedudukan pada minit ke-49. Tandukan Vann Vit ke arah gawang Vietnam pantas disekat Khuat Van Khang sebelum ia melepasi garisan gol.

Gol penyamaan yang dicari Kemboja akhirnya hadir menerusi Rado pada minit ke-62. Tandukan penyerang muda Visakha itu gagal dinafikan Trung Kien sebelum menerjah jaring.

Nguyen Dinh Bac memastikan kemenangan milik Vietnam dengan meledakkan gol pada minit ke-83. Itu sudah cukup untuk Vietnam layak selaku juara Kumpulan B.