Pearly Tan-Thinaah Bakal Naik Ke Ranking Kedua Dunia
UltraSukan
MSN Malaysia

Pasangan beregu wanita Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah bakal melonjak ke ranking kedua dunia.

Ketika ini, Pearly-Thinaah masih berada di kedudukan terbaik dalam karier mereka apabila menghuni ranking ke-3 dunia, di belakang beregu China dan Jepun yang konsisten di puncak.

Walau bagaimanapun, perkiraan awal oleh laman Shuttlehard menyaksikan Pearly-Thinaah akan muncul sebagai pasangan beregu wanita ke-2 dunia menjelang kemas kini ranking BWF minggu hadapan.

Kejayaan ini dicapai selepas Pearly-Thinaah berjaya layak ke final Japan Open lalu yang berstatus Super 750 dan muncul selaku naib juara setelah tumpas kepada Liu Sheng Shu-Tan Ning.

Beregu Malaysia yang juga semi finalis Sukan Olimpik 2024 itu beraksi cemerlang di saingan Japan Open sebelum akur tewas di final kepada jaguh China itu dengan keputusan 14-21, 15-21.

Dengan meraih gelaran naib juara di Japan Open ini, Pearly-Thinaah telah merapatkan kedudukan dengan beregu Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida yang berada di ranking ke-2 dunia.

Sungguhpun begitu, Matsuyama-Shida terpaksa akur bakal dipintas oleh Pearly-Thinaah setelah pasangan dari Jepun tersebut kecundang di pusingan pertama China Open pada Rabu.

Kekalahan Matsuyama-Shida ini membolehkan Pearly dan Thinaah memintas kedudukan mereka dan naik satu anak tangga ke ranking ke-2 dunia buat julung kali dalam karier.

Malah, Pearly-Thinaah bakal mengikuti langkah Chin Ee Hui-Wong Pei Tty yang pernah menjejakkan ranking kedua dunia pada bulan Oktober 2009, kira-kira sekitar 16 tahun yang lalu.