Ifedayo Olusegun Mula ‘Gegar’ Kota Bharu
MakanBola
Kelantan The Real Warriors FC

Penyerang baharu Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC), Ifedayo Olusegun mula mempamerkan bisanya bersama pasukan Pantai Timur itu.

Ini selepas penyerang Nigeria itu meledakkan dua gol dalam aksi persahabatan pra-musim menentang Kelab Wan Tendong Stable FC (Kelantan WTS FC) baru-baru ini.

Aksi di Stadium Sultan Muhammad IV itu merupakan sebahagian daripada persiapan kedua-dua pasukan bagi menghadapi musim 2025/26.

Ifedayo yang juga bekas pemenang Kasut Emas Liga Super merupakan sebahagian daripada 10 pemain import baharu Kelantan TRW.

Selain Ifedayo, pengendali Kelantan TRW, E. Elavarasan turut menurunkan ramai pemain baharu seperti Azfar Arif Mohd Sukri, Azwan Aripin, T. Saravanan, Albert Kang dan Prince Aggreh.

Bekas penyerang PDRM FC itu turut menggalas peranan sebagai kapten Kelantan TRW dalam perlawanan itu.

Selain Ifedayo, satu lagi gol Kelantan TRW disumbang oleh bekas pemain tengah Sabah FC, Danial Haqim Deraman.

Selepas ini, The Real Warriors bakal mengalihkan fokus kepada aksi pra-musim menentang kelab Thai League 4, Yala United. Aksi tersebut akan berlangsung pada 26 Julai ini.