Harimau Malaya Lawan Singapura & Palestin Pada September
MakanBola
Malaysia NT

Singapura dan Palestin bakal menjadi lawan Harimau Malaya untuk kalendar antarabangsa FIFA pada September ini.

Perkara ini disahkan pengendali skuad negara, Peter Cklamovski apabila ditanya tentang persiapan pasukan itu pada bulan berkenaan.

Dua perlawanan tersebut dilihat ujian terbaik Malaysia sebelum mengharungi aksi kelayakan Piala Asia 2026 seterusnya pada Oktober dan November.

“Bulan Oktober dan November yang sangat penting bagi pasukan kerana kempen kelayakan (Piala Asia). Pada September, kita sudah ada dua perlawanan yang bagus,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

“Satu, kita akan menentang Singapura untuk derby (Tambak Johor). Kedua, kita akan menentang pasukan yang berada kelompok 100 pasukan terbaik, Palestin.

“Satu peluang yang bagus untuk kita berkumpul, membina identiti skuad kebangsaan kita dan cara kita bermain. Kita bawa dua perlawanan ke Malaysia untuk berhubung dengan penyokong dan membuat rakyat Malaysia bangga.”

Harimau Malaya akan menentang Singapura pada 4 September sebelum disusuli aksi menentang Palestin empat hari selepas itu. Kesemua perlawanan akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Pengumuman ini menamatkan teka-teki tentang perancangan Harimau Malaya pada September ini. Ini susulan penarikan diri skuad negara daripada menyertai CAFA Nations Cup baru-baru ini.