Pra-Musim: Arsenal Hampakan AC Milan
MakanBola
Arsenal

Arsenal membuka jelajah pra-musim di Asia dengan kemenangan apabila menewaskan AC Milan di Stadium Nasional Singapura.

Aksi pra-musim ini dilihat peluang buat kedua-dua pasukan membina keserasian dalam kalangan pemain sebelum saingan musim 2025/26 bermula.

Pemain sayap England, Bukayo Saka diberi peluang memimpin The Gunners. Pemain sayap Portugal, Rafael Leao mengetuai jentera serangan Rossoneri.

Arsenal hampir membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi Saka. Malangnya, percubaan beliau pantas disekat penjaga gol Milan, Pietro Terracciano.

17 minit kemudian, giliran bintang muda The Gunners, Ethan Nwaneri pula menguji Terracciano. Penjaga gol berusia 35 tahun itu bertindak pantas menepis percubaan beliau.

Riccardo Calafiori kecewa pada minit ke-40. Ini selepas percubaan beliau ke arah gol Milan pantas ditanduk keluar Strahija Pavlovic sebelum melepasi garisan gol.

Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol pendahuluan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, kedua-dua pasukan membuat beberapa pertukaran pemain. Ini memberi ruang kepada pemain lain mendapatkan minit permainan.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta memasukkan Kepa Arrizabalaga, Martin Odegaard dan Martin Zubimendi. Pengurus Milan, Massimiliano Allegri pula memasukkan Matteo Gabbia dan Noah Okafor.

Gol pendahuluan yang dicari The Gunners muncul pada minit ke-52 menerusi Saka. Hantaran Jakub Kiwior gagal dikeluarkan pertahanan Rossoneri mengakibatkan Saka mudah menolak bola melepasi Terracciano.

Milan berusaha memberi tekanan ke arah gawang Arsenal menerusi Leao, Okafor dan pemain gantian, Warren Bondo tetapi tidak berhasil.

Pengganti Terracciano, Lorenzo Toriani bertindak cemerlang menafikan tandukan Mikel Merino pada minit ke-74. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Sofascore memilih Saka sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.8. Milan perlu bangkit menjelang aksi seterusnya kerana mereka akan menentang Liverpool di Hong Kong pada 26 Julai.

Arsenal pula akan menentang Newcastle United selepas itu.