Malaysia berusaha menjaga hubungan baik dengan Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) meskipun menarik diri daripada saingan CAFA Nations Cup.
Hal ini dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend apabila mengulas tentang perkara itu.
Sebelum ini, arena bola sepak negara dikejutkan dengan keputusan skuad negara menarik diri daripada saingan CAFA Nations Cup.
Susulan itu, CAFA menzahirkan rasa kecewa atas keputusan Malaysia. Meskipun ia satu keputusan yang sukar, pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski melihat ia langkah terbaik demi menjaga reputasi pasukan itu.
Kini, Friend memaklumkan langkah menarik diri daripada CAFA Nations Cup dibuat secara terperinci. Pada masa sama, beliau turut memaklumkan mereka turut membantu CAFA mengenal pasti pasukan pengganti.
“Keputusan untuk menarik diri daripada kejohanan CAFA dibuat secara terperinci dan berpandukan pertimbangan strategik,” katanya.
“Kami turut bekerjasama rapat dengan pihak CAFA bagi membantu mengenal pasti pengganti yang sesuai.”
Friend turut menyatakan segala tindakan yang dibuat bersifat profesional dan integriti. Ini bagi memastikan hubungan baik Malaysia dengan komuniti bola sepak antarabangsa kekal terpelihara.