China Open: Aaron Chia-Wooi Yik Ke Suku Akhir, Singkirkan Popov Bersaudara
UltraSukan
BAC 2025

Beregu nombor satu Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mengesahkan kemaraan ke suku akhir China Open 2025.

Beregu nombor dua dunia itu menewaskan wakil Perancis, Toma Junior dan Christo Popov dalam aksi pusingan kedua.

Aaron-Wooi Yik semakin bersemangat selepas menewaskan wakil Denmark di pusingan pertama, Rasmus Kjaer dan Frederik Sogaard.

Mereka juga turut memiliki rekod baik dengan Popov bersaudara. Ini kerana Aaron-Wooi Yik pernah menewaskan Toma Junior-Christo dalam saingan Denmark Open 2023.

Beregu Perancis ke-20 dunia itu terpaksa akur dengan kehebatan beregu negara menerusi keputusan 21-16, 21-18.

Set pertama menyaksikan Toma Junior-Christo cuba memberi saingan kepada Aaron-Wooi Yik. Pada satu ketika, mereka berjaya mengikat beregu Malaysia itu pada kedudukan 10-10.

Juara Thailand Open itu kemudiannya mendahului pada kedudukan 18-14. Kelebihan itu terus dipertahankan Aaron-Wooi Yik sebelum menang dengan keputusan 21-17.

Set kedua menyaksikan beberapa kesilapan di jaring oleh beregu negara membuka ruang buat Toma Junior-Christo mendahului pada kedudukan 11-6.

Aaron-Wooi Yik berjaya mengejar dan mengikat kedudukan 15-15. Mereka kembali unggul sebelum menang dengan keputusan 21-18.

Aaron-Wooi Yik bakal bertemu salah satu daripada dua beregu negara di peringkat suku akhir. Mereka akan menentang sama ada Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong atau Man Wei Chong-Tee Kai Wun.