Terengganu FC membuka jelajah pra-musim di selatan Thailand dengan langkah kanan apabila membelasah Yala FC 5-1.
Selepas merekodkan satu kemenangan dan dua keputusan seri di Lembah Klang, Terengganu berharap dapat meneruskan rentak tanpa kalah di selatan Thailand.
Meskipun aksi menentang Yala merupakan aksi persahabatan tertutup, Badrul Afzan Razali memilih menurunkan barisan terbaik.
Antara pemain yang diturunkan ialah Akram Mahinan, Azam Azmi Murad, Suhaimi Husin, Gabriel Silva dan kapten, Careca.
Babak pertama menyaksikan ketajaman jentera serangan Peteh. Gol Yann Mabella dan Careca memastikan Terengganu mendahului 2-0 sehingga rehat.
Serangan bertali arus anak buah Badrul diteruskan pada separuh masa kedua. Mabella, Akhyar Rashid dan pemain gantian, Khalaif Naskam mencetak nama sebagai penjaring.
Yala merekodkan satu gol tetapi sudah terlambat untuk menghalang kemenangan besar Peteh pada akhir perlawanan.
Selepas ini, Terengganu akan menentang satu lagi kelab Thailand, Nara United dalam aksi persahabatan tertutup pada 25 Julai.