Vietnam sah ke pentas final apabila menundukkan Filipina 2-1 pada perlawanan separuh akhir pertama sebentar tadi.
Perlawanan dimulakan dengan skuad Vietnam menurunkan Tran Trung Kien di bahagian penjaga gol manakala Nguyen Dinh Bac mengetuai di bahagian serangan dan Khuat Van Khang sebagai kapten bagi pasukan Vietnam pada hari ini.
Bagi skuad Filipina pula Nicholas Guimaraes terus memikul tanggungjawab sebagai benteng terakhir pasukan Filipina manakala Gavin Muens menggalas lilitan kapten bagi perlawanan separuh akhir ini.
Perlawanan dimulakan dengan aksi yang perlahan dari kedua-dua pasukan yang tampak berwaspada dengan ancaman serangan masing-masing.
Skuad Filipina dapat menyekat tekanan dan serangan dari pihak lawan walaupun pemain-pemain Vietnam dapat melakukan dua atau tiga kali percubaan ke gawang mereka.
Skuad Filipina memulakan serangan ke gawang Vietnam dengan melakukan beberapa percubaan bagi menguji penjaga gol Vietnam.
Usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila pada minit ke 35 pemain Filipina memecahkan jaringan hasil bola lambung di hadapan gawang Vietnam oleh pemain bernombor 20, Mariano.
Tersentak dengan jaringan tersebut pemain-pemain Vietnam tidak menunggu lama apabila melancarkan serangan balik sehingga dapat menjaringkan gol pada minit ke 41 dengan hasil tendangan dari penyerang berbisa mereka iaitu Nguyen Dinh Bac.
Vietnam yang hampir mendahului perlawanan pada minit ke 42 tidak kesampaian apabila rembatan jarak dekat oleh pemain Vietnam tersasar di sebelah kanan gawang.
Kedudukan 1-1 kekal sehingga akhir perlawanan separuh masa pertama yang mempunyai serangan bertubi-tubi dari kedua-dua pasukan.
Bersambung selepas rehat, kedua-dua pasukan masih melakukan serangan yang berbahaya untuk mendapatkan jaringan sekaligus melayakkan diri ke perlawanan akhir.
Memasuki minit ke 54, Vietnam sekali lagi menjaringkan gol dari hasil serangan yang tajam oleh Nguyen Xuan Bac sekaligus menjarakkan kedudukan semasa untuk melayakkan diri ke pentas final.
Vietnam terus bernafsu untuk menjaringkan gol dengan menggantikan 3 pemain bagi memastikan tiket ke final itu menjadi milik mereka.
Manakala Filipina terus berdisiplin bagi tidak dibolosi lagi sekali oleh pasukan Vietnam yg semakin meningkatkan intensiti permainan.
Perlawanan memasuki minit ke 80 masih didahului oleh pasukan Vietnam yang sangat berdisiplin menjaga kubu pertahanan mereka daripada dibolosi.
Pada akhir minit perlawanan Vietnam dihadiahkan sepakan percuma di luar kotak penalti apabila pemain Vietnam menerima terjahan keras sekaligus pemain Filipina dilayangkan kad merah.
Kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Ini mengesahkan skuad Vietnam layak ke pentas final dan menanti pemenang di antara Indonesia dan Thailand.