Dua Pemain Import Tambah Kemeriahan LWN
MakanBola
Sabah FA Women’s Team

Saingan Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 bakal lebih meriah dengan kehadiran pemain import.

Ini kerana kelab-kelab LWN kini dibenarkan merekrut dua tonggak import bagi menghadapi kempen liga. Perkara ini turut disahkan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Dato’ Suraya Yaacob.

Suraya menyifatkan kehadiran dua pemain import bukan saja memberi nilai tambah kepada liga bola sepak wanita negara.

Malah, beliau melihat ini memberi peluang kepada pemain tempatan untuk belajar dan lebih maju sebagai pemain bola sepak.

“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan daya saing pasukan tetapi juga membuka ruang untuk pemain tempatan belajar dan berkembang bersama pemain bertaraf antarabangsa.

“Ia turut mencerminkan kesungguhan kita untuk membawa bola sepak wanita ke tahap yang lebih profesional dan berdaya saing di peringkat serantau dan global lebih-lebih lagi lapan pasukan bertanding ini sudah tentu mahu merebut slot ke Peringkat Kelayakan AFC Women’s Champions League (AWCL) tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beberapa pasukan LWN telah merekrut pemain import bagi menghadapi kempen musim 2025. Misalnya, Sabah merekrut Win Theingi Tun dan An Se-bin.

Wakil Malaysia untuk saingan AWCL 2025/26, Kelana United pula merekrut dua tonggak Indonesia, Viny Silfianus Sunaryo dan Shalika Aurelia Viansrisa.