Pra-Musim: Liverpool Kecundang Di Tangan AC Milan
MakanBola
AC Milan

Liverpool membuka jelajah pra-musim Asia dengan langkah kiri apabila tewas kepada AC Milan dalam aksi persahabatan pra-musim di Hong Kong.

Rossoneri berharap dapat bangkit selepas tewas kepada Arsenal dalam aksi pra-musim sebelumnya. The Reds pula berharap dapat membuka jelajah pra-musim di Asia dengan kemenangan.

Penyerang berbisa Mesir, Mohamed Salah mengetuai jentera serangan Liverpool. Rafael Leao menjadi sandaran gol pengurus Milan, Massimiliano Allegri.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol awal. Leao hampir menggegar jaring Liverpool seawal minit kelapan.

Selepas berjaya melepasi dua pemain pertahanan The Reds, penyerang Portugal itu melepaskan rembatan deras ke arah gol. Percubaan Leao pantas dinafikan Alisson Becker.

Gawang Liverpool akhirnya bocor dua minit selepas itu. Serangan balas pantas Rossoneri diketuai Christian Pulisic pantas disudahkan Leao melepasi Alisson.

Tersentak, The Reds mula memperkemaskan rentak untuk memburu gol penyamaan. Hasilnya, Dominik Szoboszlai menyamakan kedudukan pada minit ke-26.

Kapten Milan, Mike Maignan tidak dapat menyelamatkan percubaan lencong Szoboszlai yang menuju ke penjuru atas gawang.

Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, kedua-dua pasukan membuat beberapa pertukaran pemain. Liverpool memasukkan Cody Gakpo, Florian Wirtz, Ibrahima Konate dan Jeremie Frimpong.

Allegri pula bertindak memasukkan Matteo Gabbia, Yunus Musah dan Noah Okafor untuk menambah sengat Milan.

Percaturan bekas jurulatih Juventus itu membuahkan hasil apabila mereka kembali mendahului pada minit ke-52.

Bekas pemain tengah Chelsea, Ruben Loftus-Cheek menyudahkan hantaran Leao meskipun cuba disekat Alisson.

Liverpool cuba bangkit untuk memburu gol kedua. Malangnya, gawang mereka bocor lagi buat kali ketiga menerusi Okafor pada minit ke-59.

Serangan pantas Rossoneri sekali lagi memerangkap barisan pertahanan The Reds. Okafor tenang menyudahkan hantaran Alexis Saelemaekers untuk gol ketiga kelab gergasi Itali itu.

Liverpool mengurangkan defisit gol menerusi Gakpo pada minit ke-92. Gawang The Reds bocor lagi pada minit akhir perlawanan menerusi Okafor sekaligus menjadikan keputusan perlawanan 4-2.

Sofascore memilih Leao sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.1. Szoboszlai dipilih pemain terbaik Liverpool dengan markah 7.8.

Selepas ini, Liverpool akan menentang wakil Jepun, Yokohama F. Marinos pada 30 Julai. Milan pula akan menentang Perth Glory sehari selepas itu.