Manchester United membuka jelajah pra-musim di Amerika Syarikat dengan langkah kanan apabila menewaskan West Ham United di Stadium MetLife, New Jersey.
Selepas diikat tanpa jaringan dengan Leeds United, anak buah Ruben Amorim berharap dapat meraih kemenangan di Amerika Syarikat. The Hammers pula mahu meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Grasshoppers pada 19 Julai lalu.
Amorim tidak menurunkan pemain terbaru United, Bryan Mbeumo kerana belum cergas. Graham Potter pula menurunkan pemain baharu West Ham, El Hadji Malick Diouf.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol awal di Stadium MetLife.
The Hammers kemudiannya ditimpa malang apabila pengadil menganugerahkan sepakan penalti kepada The Red Devils. Ini selepas penjaga gol West Ham, Alphonse Areola dikesan menjatuhkan Ayden Heaven.
Kapten United, Bruno Fernandes tenang menewaskan Areola menerusi sepakan penalti pada minit kelima.
The Red Devils menyangka mereka telah menggandakan jaringan menerusi rembatan Amad Diallo pada minit ke-39. Walau bagaimanapun, gol itu dibatalkan kerana kesalahan ofsaid.
West Ham berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, United terus meningkatkan tekanan untuk memburu gol kedua. Fernandes hampir menyumbat gol kedua pada minit ke-49 tetapi dinafikan Areola.
Penjaga gol West Ham itu tewas buat kali kedua tiga minit selepas itu. Selepas menerima hantaran Kobbie Mainoo, Fernandes melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang menerjah penjuru atas gawang.
The Hammers merapatkan jurang gol menerusi kapten, Jarrod Bowen pada minit ke-59. Serangan balas pantas mereka pantas disudahkan Bowen melepasi Altay Bayindir.
United kemudiannya membuat 10 pertukaran pemain. Antara pemain yang diberi peluang sebagai pemain gantian ialah Mason Mount, Luke Shaw, Casemiro dan Chido Obi.
West Ham turut membuat beberapa pertukaran dengan memasukkan Lucas Paqueta dan Freddie Potts.
The Hammers berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Selepas ini, United akan menentang Bournemouth pada 31 Julai.
West Ham pula berharap dapat meraih kemenangan apabila menentang Everton pada hari yang sama.