Christopher Raj Terima Darjah Indera Mahkota Pahang, Kini Bergelar Dato’
MakanBola
Shekhinah PR

Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Christopher Raj, telah dikurniakan pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) yang membawa gelaran Dato’ sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-66 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini.

Pengiktirafan ini diberikan atas sumbangan cemerlang beliau dalam bidang media, komunikasi, pengurusan acara dan pentadbiran sukan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Di bawah kepimpinan Christopher, agensi ShekhinahPR telah meraih pelbagai anugerah dan pengiktirafan berprestij antarabangsa, mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam landskap komunikasi strategik global.

Sumbangannya turut diiktiraf oleh badan induk bola sepak dunia apabila beliau dilantik sebagai Konsultan Media FIFA dan AFC, mewakili Malaysia di pelbagai kejohanan utama. Beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Media di Piala Dunia FIFA 2018 di Rusia dan sekali lagi dipilih untuk edisi 2022 di Qatar, memegang tanggungjawab utama sehingga ke perlawanan akhir.

Pengalaman beliau turut meliputi perlawanan akhir Piala Dunia FIFA B-17 India 2017, Indonesia 2023, dan Piala Asia 2023 di Qatar. Sejak 2019, beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Media AFC, dengan pelantikan berkuat kuasa sehingga Jun 2025.

Portfolio luas Christopher Raj termasuk pengurusan operasi media di beberapa kejohanan utama seperti Piala Asia Australia 2015, UAE 2019, Concacaf Gold Cup 2019 di Amerika Syarikat, serta Liga Juara-Juara AFC (2021–2024).

Pengiktirafan ini mencerminkan kepakaran dan dedikasi beliau dalam bidang komunikasi dan sukan, serta pencapaian signifikan dalam mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.