Aaron Chia-Wooi Yik Terlepas Gelaran Juara China Open Kepada Fajar-Fikri
UltraSukan
BA Malaysia

Pasangan Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa akur terlepas kejuaraan China Open setelah kalah di tangan wakil Indonesia, Fajar Alfian-Shohibul Fikri.

Keputusan ini dicapai setelah Fajar-Fikri hanya memerlukan 35 minit untuk menewaskan Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta meranapkan impian beregu Malaysia ini bagi meraih gelaran juara di China.

Malah, ini juga kemenangan pertama buat Fajar-Fikri ke atas Aaron-Wooi Yik oleh kerana kedua-dua beregu ini bertemu untuk kali pertamanya selepas wakil Indonesia ini membuat rombakan.

Pertarungan dilihat lebih memihak Fajar-Fikri di awal aksi set pertama dengan pasangan yang baru digandingkan itu lebih dominan menyerang dan jauh meninggalkan beregu Malaysia ini.

Walaupun usaha bangkit dengan merapatkan kedudukan di pertengahan aksi, namun percubaan Aaron-Wooi Yik tidak memberikan hasil selepas Fajar-Fikri meraih kemenangan di set pertama.

Cubaan kedua oleh Aaron Chia-Wooi Yik bagi membawa aksi ke set penentuan juga tak berjaya susulan kebuntuan beregu negara ini bagi meraih mata sebanyak mungkin hasil deretan kesilapan.

Akhirnya, permainan ditamatkan oleh Fajar-Fikri dengan aksi lebih cemerlang di penghujung set kedua sekaligus memberi kejayaan untuk beregu Indonesia dan Aaron-Wooi Yik akur di tempat kedua.

Keputusan akhir, Fajar Alfian-Shohibul Fikri juara China Open mengatasi Aaron Chia-Soh Wooi Yik dengan 21-14, 21-15.