Malaysia terus kempunan mengakhiri kemarau 37 tahun kemenangan acara regu berpasukan dalam Thai King’s Cup 2025.
Skuad negara terpaksa akur dengan kehebatan musuh tradisi dan tuan rumah, Thailand di pentas final. Ini kali kedua Malaysia dinafikan peluang bergelar juara acara regu berpasukan selepas Piala Asia Sepak Takraw.
Skuad negara mempertaruhkan Haziq Hairul Nizam, Faizzul Razak dan Noraizat Nordin untuk memburu mata pertama.
Thailand pula memilih gandingan Pornthep Tinbangbon, Sangkhai Daoreang dan Marukin Phanmakon sebagai regu pertama.
Regu pertama Malaysia cuba memberi tentangan kepada Thailand. Malangnya, mereka tiada jawapan kepada serangan regu tuan rumah termasuk servis yang dilakukan Pornthep.
Ini membolehkan Thailand meraih mata pertama perlawanan dengan keputusan 15-12, 15-12. Situasi ini menyebabkan gandingan Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Azlan Alias sebagai regu untuk merebut mata dalam perlawanan kedua.
Thailand pula memilih gandingan Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai dan Rachan Viphan untuk memburu mata kemenangan.
Gandingan Syahir, Farhan dan Azlan memberi tentangan sengit pada set pertama sebelum tewas dengan keputusan 17-16. Regu Thailand kemudiannya mendominasi set kedua sebelum menang dengan keputusan 15-4.
Kini, fokus kem sepak takraw negara ialah acara sepak takraw di temasya Sukan SEA 2025.