Ketua jurulatih Malayan Tigress B-20, Cameron Ng membuat analisa awal terhadap Iran, Jepun dan Guam menjelang aksi Kelayakan Piala Asia Wanita B-20.
Skuad muda wanita Malaysia di bawah bimbingan Cameron Ng ini sudah seminggu menjalani kem sesi latihan di Bukit Jelutong menjelang aksi kelayakan ke Piala Asia pada Ogos hadapan.
Seramai 26 pemain yang dipanggil oleh barisan kejurulatihan tampak sudah bersedia bagi membawa cabaran Malaysia ke kelayakan tersebut yang turut membabitkan Jepun, Iran dan Guam nanti.
Malah, barisan kejurulatihan yang diketuai oleh Cameron Ng sudah pun melakukan analisa awal terhadap pasukan lawan dengan Jepun serta Iran sememangnya pencabar hebat di sana.
Analisa awal dengan menyaksikan klip-klip video permainan lawan ini bagaimanapun tidak membabitkan skuad terkini Jepun, Iran dan Guam yang masih belum umumkan senarai nama pemain.
“Sudah tentu, Jepun tetap Jepun. Kita semua tahu betapa kuatnya Jepun. Iran juga sangat kuat.”
“Kami sudah menonton beberapa video tetapi satu perkara yang mungkin sedikit menyukarkan kami untuk kumpulan umur ini ialah, kami tiada video terkini untuk skuad bawah 20 tahun ini.”
Oleh itu, inisiatif lain yang dilakukan adalah dengan mengkaji skuad B-18 Jepun, Iran dan Guam dengan harapan pemain-pemain ini yang akan dipilih untuk beraksi di Cheras bermula 6 Ogos ini.
“Video yang kami ada hanyalah untuk pasukan bawah 18 tahun lepas.”
“Jadi, kami andaikan bahawa pemain bawah 18 tahun itu akan naik ke bawah 20 tahun tahun ini. Tapi, pasukan-pasukan lain masih belum umumkan senarai pemain mereka.”
“Jadi, kami tak boleh pasti sama ada skuad bawah 18 tahun itu adalah sama dengan pasukan bawah 20 tahun sekarang. Namun, kami sudah lakukan kajian sebaik mungkin.”
“Kami dah semak. Terima kasih kepada penganalisis saya, staf sokongan dan semua barisan kejurulatihan. Kami dah tonton beberapa video,” ujar Cameron Ng pada Isnin.
“Kami cuba buat yang terbaik berdasarkan maklumat yang kami ada.”
Malaysia akan bertemu Iran dalam aksi pertama kumpulan F Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 pada 6 Ogos ini sebelum menentang Jepun dan Guam dengan hanya selang dua hari bagi setiap aksi.
8 juara kumpulan dan 3 naib juara terbaik akan melangkah ke pusingan akhir Piala Asia Wanita B-20 2026 di Thailand pada 1 hingga 18 April 2026 hadapan.