Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin hampir mara ke pusingan separuh akhir Malaysia Futsal Cup selepas mengatasi TOT United pada Isnin.
Aksi suku akhir pertama di Shah Alam ini menyaksikan skuad futsal JDT membuktikan kegarangan dengan 9 jaringan yang tercipta untuk menghampakan pasukan TOT United di laman mereka.
Barisan terkuat menjadi taruhan JDT dengan Awalluddin Mat Nawi dan Saad Abdul Sani membawa misi memburu jaringan tatkala Amir Hakim pula mengisi posisi penjaga gawang TOT United.
JDT tak memerlukan masa yang lama bagi merobek gawang tuan rumah selepas Awalluddin Mat Nawi yang juga tonggak kebangsaan meledak dua gol awal pada minit ke-2 dan ke-3 permainan.
Pemain TOT United, Muhammad Farikh menambah kelebihan untuk skuad futsal JDT selepas tertampan gol sendiri di minit ke-18 sebelum Saad Abdul Sani menjadikan skor 4-0 seminit kemudian.
Di babak kedua, skuad Harimau Selatan ini terus mengganas dengan Awalluddin Mat Nawi dan Saad Abdul Sani sekali lagi melakar nama selaku penjaring untuk juara bertahan ini terus selesa.
Trio JDT, Firdaus Ambiah, Fakhrul Islam serta Ridzwan Bakri melengkapkan malam gemilang untuk anak-anak buah Juan Antonio Miguel Garcia dengan satu bekalan cukup selesa ke laman sendiri.
Pasukan tuan rumah, TOT United berjaya meraih gol saguhati di penghujung aksi apabila Ridhwan Zainal berjaya mencetak jaringan tunggal buat tuan rumah namun itu tidak cukup buat menghalang kemenangan JDT.
Keputusan akhir, TOT United 1-9 JDT.