Pra-Musim: Negeri Sembilan Belasah Tanjong Pagar United
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Negeri Sembilan FC menutup kempen pra-musim dengan kemenangan apabila membelasah wakil Singapura, Tanjong Pagar United.

Selepas meraih trofi Piala Serumpun baru-baru ini, anak buah Nidzam Jamil semakin bersemangat untuk menutup kempen pra-musim dengan kemenangan.

Kelab Singapore Premier League (SPL), Tanjong Pagar United menjadi lawan terakhir Negeri Sembilan sebelum musim 2025/26 bermula.

Nidzam menurunkan barisan terkuat untuk menghadapi cabaran The Jaguars di Paroi. Antara pemain yang diturunkan ialah Joseph Esso, Takumi Sasaki dan orang besi baharu Sang Rusa, Luis Enrique Nsue.

Separuh masa pertama menyaksikan Negeri Sembilan menyumbat dua gol dalam tempoh dua minit. Nsue membuka tirai jaringan buat tuan rumah pada minit ke-18.

Seminit selepas itu, giliran Esso pula yang merobek gawang Tanjong Pagar United yang dikawal Zaiful Nizam Abdullah.

Kelebihan dua gol itu dipertahankan Negeri Sembilan sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Sang Rusa semakin ghairah memburu gol tambahan di hadapan para penyokong di Paroi.

Nsue menyumbat gol kedua peribadi pada minit ke-73. Bekas penyerang Negeri Sembilan, Youssef Ezzejjari mengurangkan defisit gol tujuh minit selepas itu.

Dua pemain gantian, N. Javabilaarivin dan Mio Tsuneyama masing-masing menyumbat gol pada minit ke-84 dan 90. Keputusan 5-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan ini dijangka membakar semangat Negeri Sembilan untuk aksi liga pertama mereka pada 12 Ogos ini. Aksi tersebut menyaksikan anak buah Nidzam menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).