Josep Ferre Jurulatih Baharu Skuad Muda JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Bekas pengarah teknikal Persekutuan Bola Sepak Filipina (FPF), Josep Ferre kini menggalas peranan sebagai jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) II.

Kelibat jurulatih Sepanyol berusia 41 tahun itu dikesan ketika aksi persahabatan antara JDT II dan kelab Singapura, Geylang International baru-baru ini.

Perlawanan tersebut merupakan sebahagian daripada persiapan juara Piala MFL musim 2024/25 itu menghadapi saingan Liga A1 Semi-Pro.

JDT II menewaskan Geylang International 4-2 dengan Syukur Fariz Januri meledakkan dua gol. Dua lagi gol disumbat penjaring terbanyak Piala Presiden 2024, Abdul Raziq Abdul Rahman.

Kelibat Ferre di tepi padang semasa perlawanan menarik perhatian penyokong JDT. Ramai percaya bekas jurulatih Buriram United B-23 itu merupakan pengganti tetap jurulatih sebelumnya, Juanmi Munoz.

Selain Filipina dan Buriram United B-23, Ferre juga pernah melatih FC Asco, Bayamon FC, Bangkok Glass dan Ratchaburi. Beliau juga pernah menjadi penolong jurulatih Persis Solo dan Bangkok Glass.