Tempat Harimau Malaya dalam kejohanan CAFA Nations Cup dikhabarkan bakal digantikan dengan satu lagi pasukan jaguh Asia.
Terdahulu, Malaysia telah mengambil keputusan cukup berat dengan menarik diri daripada kejohanan CAFA Nations Cup yang bakal diadakan di Tajikistan bermula penghujung Ogos ini.
Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor yang membabitkan perjalanan skuad Harimau Malaya ke Asia Tengah tersebut selain berdepan isu pelepasan pemain dari pihak kelab.
Dengan ini, tempat Malaysia dilaporkan bakal digantikan oleh pasukan di ranking ke-133 dunia, India sekaligus berada di dalam kumpulan B bersama Iran, Tajikistan dan Afghanistan nanti.
Menurut laporan media tempatan, news 18 memaklumkan bahawa pihak All India Football Federation (AIFF) sedang menanti pengesahan rasmi dari penganjur kejohanan CAFA Nations Cup.
”Belum dimuktamadkan lagi tetapi kami sedang menunggu,” lapor news 18, salah sebuah media di India.
Sehingga kini, masih belum ada pengesahan rasmi dari pihak AIFF mahupun CAFA selaku penganjur kejohanan rantau Asia Tengah tersebut.