Pihak Amateur Football League (AFL) terpaksa menunda dua aksi pertama melibatkan Kelantan Red Warrior (Kelantan RW) di saingan Liga A1 berikutan isu FIFA.
Terdahulu, Kelantan RW telah menerima surat tunjuk sebab oleh FIFA selepas badan induk itu mahu kelab Pantai Timur itu membuktikan mereka adalah entiti berbeza berbanding Kelantan FC.
Sekiranya FIFA mendapati kedua-dua kelab ialah entiti yang sama, Kelantan RW berpotensi berdepan hukuman sekatan perpindahan yang masih lagi dikenakan ke atas Kelantan FC sebelum ini.
Pengerusi AFL, Datuk Wira Yusoff Mahadi menerusi satu kenyataan menjelaskan situasi sebenar melibatkan Kelantan RW ini yang dikhabarkan sudah pun membalas surat dari FIFA itu.
“Saya rasa semua orang tahu bahawa Kelantan RW (KRW) telah menerima surat daripada FIFA membabitkan larangan perpindahan pemain ke atas KRW,” kata beliau pada Selasa.
“KRW dianggap sebagai entiti yang sama dengan TRW (kelab milik Zamsaham sebelum ini) kerana saya faham bahawa pemilikan KRW sebelum ini berada di bawah TRW.
“Jadi itu yang mencetuskan tindakan FIFA bagi mengenakan larangan perpindahan itu ke atas KRW ini kerana dianggap sebagai pasukan yang sama.
“Apa pun, menurut surat FIFA, KRW mempunyai tempoh sehingga 14 haribulan.”
Malah, beliau juga mengesahkan bahawa KRW ketika ini tidak boleh mendaftarkan sebarang pemain selagi mana isu ini tak diselesaikan sekaligus akan merencatkan perjalanan pasukan di Liga A1.
“Apa pun keadaannya, kami di AFL faham bahawa KRW tidak boleh mendaftarkan pemain selagi isu mereka bersama FIFA belum dapat diselesaikan.”
“Jika KRW tidak boleh mendaftarkan pemain, ini bermaksud mereka tidak mempunyai pemain untuk beraksi (dalam Liga A1).”
Oleh itu, pihak Ahli Lembaga Pengarah AFL telah pun sebulat suara bersetuju untuk menangguhkan dua aksi awal Kelantan RW sehingga keputusan dari FIFA dikeluarkan pada 14 Ogos ini.
“Sedangkan Liga A1 telah bermula pada 2 Ogos. Jadi kami di AFL, saya rasa semua ahli lembaga bersetuju, bagi memberi mereka sedikit ruang.”
“Memandangkan KRW telah pun menandatangani kontrak dengan pemain dan saya rasa mereka telah melakukan persiapan yang baik.”
“Maka kami anggap, selagi FIFA belum membuat keputusan muktamad, kami tidak akan kenakan larangan tersebut.”
“Sebelum 14 haribulan, terdapat dua perlawanan yang kami terpaksa tangguhkan yang melibatkan KRW,” jelas Datuk Wira Yusoff Mahadi.
“Jadi saya harap KRW dapat selesaikan isu ini dengan FIFA dan kami di AFL sentiasa menggalakkan KRW untuk beraksi kerana saya fikir mereka adalah sebuah pasukan yang baik dari segi persiapan.”
Kelantan RW dijadualkan membuka tirai saingan Liga A1 pada 2 Ogos ini menentang Selangor II di Kota Bharu sebelum aksi kedua menentang kelab dari Korea, Seoul Phoenix seminggu kemudian di Cyberjaya.