Penolong Jurulatih Indonesia B-23 ‘Koyak’ Gara-Gara Taktik Licik Vietnam
MakanBola
Astro Arena

Taktik bijak yang direncanakan oleh pasukan Vietnam B-23 dianggap berjaya selepas salah seorang staf kejurulatihan Indonesia menceroboh kawasan lawan dan dilayangkan kad merah.

Insiden tegang ini berlaku ketika di penghujung permainan apabila pasukan muda Indonesia mendapat peluang untuk melakukan serangan ke arah kubu Vietnam bagi mencari gol penyamaan.

Skuad Indonesia yang dikenali dengan kepakaran melakukan lontaran jarak jauh menerusi pemain tengah, Robi Darwis kini miliki peluang bagi terus menghantar bola ke dalam kawasan lawan.

Sungguhpun begitu, kedudukan Robi Darwis bagi melakukan lontaran di hadapan kem pasukan Vietnam dilihat terganggu dengan botol-botol air yang diletakkan secara berselerak di tepi padang.

Pasukan Vietnam yang dibimbing oleh Kim Sang-sik tampak bijak dengan meletakkan botol-botol air di kawasan lontaran bagi menyukarkan larian yang ingin dibuat oleh Robi Darwis.

Taktik Vietnam tersebut tidak disenangi oleh kem Indonesia yang dilihat sengaja mengganggu lontaran yang ingin dibuat sehingga salah seorang staf kejurulatihan mula tak senang duduk.

Pembantu jurulatih Indonesia, Damian Van Rensburg dengan pantas meluru ke arah kawasan Vietnam dan ‘membersihkan’ laluan Robi Darwis bagi melakukan lontaran jarak jauh namun kem pelawat tidak berpuas hati.

Lantas pengadil perlawanan tanpa perlu melengahkan waktu melayangkan kad merah kepada Damian Van Rensburg dan beliau tampak tidak berpuas hati apabila diarahkan untuk keluar padang.

View this post on Instagram

A post shared by Astro Arena (@astroarenahd)

Tindakan licik dan bijak Vietnam bagi menghalang Indonesia memanfaatkan kelebihan ini mendapat perhatian dan malah laman Asean Football turut memuji langkah meletakkan botol air tersebut.

Malah, kapten pasukan Malaysia B-23, Ubaidullah Shamsul melihat pelan Vietnam menyekat serangan tuan rumah ini sebagai satu kepentingan meskipun hanya perkara kecil dalam bola sepak.

Di akhir perlawanan, Indonesia terpaksa akur tumpas kepada Vientnam sekaligus mengangkat anak didik Kim Sang-sik itu selaku juara Piala Mandiri ASEAN B-23 3 kali berturut-turut.