“Dari RM3 Juta, Saya Setuju Jual RM300 Ribu Tapi Tiada Jawapan” – Zamsaham
MakanBola
TRW Kelantan FC

Isu yang melanda pasukan Kelantan Red Warrior (Kelantan RW) kini mendapat perhatian daripada Pemilik Kelantan FC, Zamsaham.

Ketika ini, pasukan Kelantan RW sedang dilanda isu bersama pihak FIFA setelah badan induk bola sepak dunia itu inginkan penjelasan mengenai dakwaan kelab itu adalah entiti serupa dengan Kelantan FC.

Penjelasan ini diperlukan oleh kerana Kelantan FC yang kini sudah tidak lagi bersaing di Liga Malaysia masih berada di dalam senarai sekatan perpindahan yang dikeluarkan oleh FIFA.

Walau bagaimanapun, Kelantan RW yang ditubuhkan oleh Presiden, Nik Hafiz Naim telah pun membalas surat pihak FIFA tersebut dan masih menantikan keputusan dari badan induk itu.

Perkara ini menjadi bualan hangat peminat Kelantan dengan ada sesetengah penyokong mendakwa Zamsaham, Pemilik Kelantan FC menjadi punca dengan tidak menjual pegangan kelab lebih awal dahulu.

Ketika itu, pasukan Kelantan FC yang dimiliki oleh Zamsaham berdepan isu luar padang dan satu gerakan yang dibawa oleh Nik Hafiz sebagai pemegang saham minoriti berusaha untuk menyelamatkan kelab itu.

Menerusi hantaran terbaharu di laman Facebook, Zamsaham berkongsi kisah dari sudut pandang beliau tentang rundingan bagi menjual pasukan Kelantan FC kepada Nik Hafiz dan juga delegasi.

Menurut Zamsaham, pilihan percuma dan jual telah diberikan kepada pihak delegasi Gerakan Selamatkan Kelantan (GSK) diketuai oleh Nik Hafiz bersama pemegang taruh lain namun tidak diterima.

“Saya ada berikan pilihan percuma dan jual tetapi GSK (Nik Hafiz dan Kumpulan) tidak terima sebaliknya mahu membeli dan mengawal sepenuhnya TRW Kelantan FC,” ujar beliau di laman Facebook.

Rundingan yang dikisahkan berakhir tanpa sebarang jawapan dari pihak Nik Hafiz dan GSK meskipun Zamsahan dikatakan telah bersetuju bagi menurunkan harga dari RM3 juta kepada RM300 ribu.

“Perbincangan dari RM3 juta akhirnya saya setuju untuk jual majoriti pegangan saham pada nilai RM300,000 tetapi akhirnya tiada jawapan dari Encik Nik Hafiz.”

“Saya ada menghubungi Encik Nik Hafiz juga berkenaan bayaran ini, tapi tiba-tiba senyap.”

“Sebaliknya Encik Nik berjumpa KAFA dan AFL langsung dan menubuhkan Kelantan Red Warriors.”

“Saya melihat Kelantan RW ingin menjadi The Red Warrior (TRW) dengan nama Kelantan Red Warriors berserta logo yg menjadi milik rasmi TRW.

Tambah beliau, kekeliruan peminat Kelantan kini sebenarnya dapat diatasi sekiranya pihak Amateur Football League (AFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gubal undang-undang berkaitan nama pasukan.

“Hari ni orang keliru ada lagi TRW dari KDN pada saya kekeliruan ini tidak akan menjadi isu jika pihak AFL dan FAM mengubal suatu undang-undang khusus tentang nama.”

Kemelut yang melanda Kelantan RW ini membuatkan kelab dari Pantai Timur ini terpaksa menangguhkan dua aksi awal Liga A1 Semi Pro sehingga keputusan FIFA diumumkan.