Lee Chong Wei Terima Gelaran Datuk Seri
UltraSukan
Lee Chong Wei

Legenda badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei kini bergelar Datuk Seri.

Ini selepas beliau dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Gelaran tersebut dikurniakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-84 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib baru-baru ini.

Sebaik menerima gelaran tersebut, Chong Wei menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang atas anugerah berkenaan.

Beliau turut melihat anugerah itu sebagai penghargaan kepada semua pihak yang menyokongnya selama ini.

“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas pengiktirafan yang amat bermakna ini. Walaupun saya telah bersara dari gelanggang, semangat Malaysia – terutamanya Pulau Pinang – sentiasa saya bawa ke mana sahaja saya pergi.

“Gelaran ini bukan hanya untuk saya, tetapi untuk semua yang telah menyokong saya sepanjang perjalanan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Chong Wei cukup dikenali kerana menjadi pemain paling lama menduduki ranking nombor satu dunia dengan rekod 349 minggu. Ini termasuk 199 minggu yang dicatat dari 2008 hingga 2012.

Chong Wei juga melakar sejarah sebagai atlet Malaysia paling berjaya dalam Sukan Olimpik. Ini dicapai dengan meraih tiga pingat perak dalam tiga temasya Olimpik.