Kelantan RW Dedah Surat Tawaran & Dua Pilihan Dari Zamsaham
MakanBola
KRW/TRWFC

Kelantan Red Warrior (Kelantan RW) tampil mendedahkan surat tawaran oleh Pemilik Kelantan FC, Zamsaham tahun lalu yang beserta dua syarat untuk mengambil alih pasukan.

Pada Rabu, Zamsaham menerusi sebuah hantaran di laman Facebook tampil berkongsi kisah mengenai rundingan bagi menjual Kelantan FC kepada Encik Nik Hafiz serta Gerakan Selamatkan Kelantan (GSK).

Menurut Zamsaham, pilihan percuma dan jual telah diberikan kepada pihak delegasi Gerakan Selamatkan Kelantan (GSK) diketuai oleh Nik Hafiz bersama pemegang taruh lain namun tidak diterima.

Rundingan yang dikisahkan berakhir tanpa sebarang jawapan dari pihak Nik Hafiz dan GSK meskipun Zamsahan dikatakan telah bersetuju bagi menurunkan harga dari RM3 juta kepada RM300 ribu.

Kini, pihak Kelantan Red Warrior FC yang ditubuhkan oleh Nik Hafiz tampil menyiarkan surat tawaran oleh Zamsaham untuk memberikan gambaran lebih jelas berkenaan rundingan yang dijalankan.

Surat yang bertarikh 9 September 2024 itu menyatakan dua pilihan yang diberikan oleh Zamsaham kepada Nik Hafiz dan delegasi GSK untuk mengambil alih kelab Kelantan FC serta-merta.

Pilihan pertama adalah pemberian kuasa penuh kepada GSK dalam tempoh 5 tahun dengan syarat saham pasukan masih kekal milik Zamsaham atau pemilik nama sebenar Norizam Tukiman itu.

Sekiranya Kelantan FC berjaya mencapai prestasi ditetapkan dalam masa 5 tahun itu, Zamsaham sedia untuk melepaskan pegangan pada harga RM1 namun jika tidak berjaya, pasukan akan kembali kepada beliau.

Malah, GSK perlu memberikan jaminan bahawa tanggungan kelab tidak akan melebihi hutang semasa pasukan setelah 5 tahun membabitkan komitmen Kelantan FC dalam tempoh ini.

Manakala pilihan kedua yang diberikan pula dilihat seperti penjualan saham secara ansuran apabila pihak GSK perlu membayar RM3 juta untuk pegangan 71% milik Zamsaham.

Andainya bersetuju dengan pilihan itu, Zamsaham sedia bagi mengundur diri dan menyerahkan segala kuasa pengawalan saham Kelantan FC kepada pihak GSK yang diketuai oleh Nik Hafiz.

Malah, di dalam surat tersebut, Zamsaham turut menyatakan Kelantan FC dalam tempoh 4 tahun melebihi RM21 juta serta hutang kelab terhadap pemain tempatan sekitar RM350 ribu.

Pasukan Kelantan FC juga dituntut membayar hampir RM2.6 juta kepada FIFA dan PFAM serta hutang bersama pembekal sekitar RM2 juta yang perlu ditanggung sekiranya bersetuju mengambil alih.

Tawaran dari pihak Zamsaham ini membuatkan Nik Hafiz dan GSK mengambil keputusan untuk menubuhkan Kelantan RW untuk bersaing di Liga A1 namun kini berdepan isu bersama FIFA.

Ini selepas badan induk bola sepak dunia tersebut mahukan penjelasan mengenai dakwaan kelab Pantai Timur itu adalah entiti serupa dengan Kelantan FC yang masih dalam senarai sekatan perpindahan FIFA.