Haqimi Azim Kembali Perkuat Serangan KL City
MakanBola
KL CITY

Pemain penyerang muda KL City kembali memperkuatkan skuad The City Boys apabila beliau tamat pertandingan Piala Mandiri B-23.

Haqimi Azim yang sebelum ini meninggalkan pesanan yang menyentuh hati buat peminat dan pasukan skuad KL City itu kembali menjalani latihan di ibu kota.

Sebaik berakhirnya liga pada musim ini terdapat beberapa pemain dari KL City termasuk Haqimi Azim dikaitkan berpindah ke beberapa kelab termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor.

Lebih menyakinkan khabar angin itu adalah apabila Haqimi sendiri memuat naik ucapan perpisahan untuk peminat KL City yang nampak akan menjadi musim terakhir beliau di ibu kota.

”Mungkin ini kali terakhir kita berdiri bersama sebagai satu pasukan. Terima kasih atas semua kenangan, gelak tawa, dan cabaran yang kita harungi bersama,” tulis Haqimi Azim di Instastory.

Untuk rekod penyerang yang berusia 22 tahun itu telah memulakan karier di KL City bermula pada tahun 2022 dan melakukan debut skuad Kebangsaan Malaysia pada hujung tahun 2022.

Haqimi telah melakukan 12 penampilan bersama Harimau Malaya dan merekodkan 1 jaringan. Ini membuktikan ketajaman penyerang muda tersebut bagi kelab dan Kebangsaan.

Perkhabaran Haqimi telah kembali menjalani latihan tersebut telah dikongsi oleh KL City menerusi hantaran di laman media sosial mereka.