Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor sekali lagi tampil dengan kenyataan penuh semangat dan mencerminkan nilai mendalam pasukan itu.
Dalam satu hantaran yang dimuat naik Baginda, Tunku Ismail menyifatkan JDT bukan sekadar kelab bola sepak, sebaliknya lambang keberanian, inovasi dan revolusi dalam landskap bola sepak Malaysia.
“JDT adalah sebuah ideologi, aspirasi dan inovasi untuk semua,” tulis Tunku Ismail di laman X.
“Ia mewakili keberanian melawan arus. Membuktikan bahawa mereka yang meragui adalah silap.”
“Ia adalah kisah kejayaan yang merupakan satu revolusi. Anda boleh menjadi penyokong JDT tanpa perlu menjadi rakyat Johor,” titah Baginda.
Kenyataan tersebut dilihat umpama satu bentuk penegasan bahawa penyokong JDT tak harus dihadkan oleh sempadan negeri, sebaliknya terbuka untuk semua yang percaya pada nilai perjuangan yang dibawa.
Sejak diterajui oleh Tunku Ismail, skuad Harimau Selatan ini bukan sahaja mendominasi arena domestik, tetapi berjaya mencorak identiti tersendiri hasil pembangunan profesional, dan fasiliti moden.
JDT kini dilihat bukan sahaja sebagai kuasa besar bola sepak Malaysia, malah selaku jenama yang membawa aspirasi, imej progresif dan hala tuju baharu kepada bola sepak tempatan.
Melalui kenyataan Baginda tersebut, ini bahkan menguatkan lagi mesej bahawa penyokong kelab bukanlah sahaja diukur berdasarkan tempat asal, tetapi di atas kepercayaan kepada visi dan budaya kelab yang diyakini.