Liga A1: 10 Pemain Perlis GSA ‘Ikat’ Kedah FA
MakanBola
Kedah FA

Skuad Perlis GSA berjaya mengikat Kedah FA dengan keputusan 0-0 bagi mendapat mata pertama aksi Liga A1.

Kedah FA yang membariskan Rajendran di bahagian penjaga gol manakala Asnan Ahmad yang menjadi watak penting di bahagian tengah.

Selain itu, Kedah FA diketuai oleh bekas pemain pertahanan Terengganu, Pape Diakite bagi memastikan Skuad Kedah FA meraih 3 mata penuh.

Sementara itu, Perlis GSA menurunkan kesemua pemain tempatan bagi mengharungi saingan Liga A1 musim ini. Trio penyerang Faiz, Ikmal dan Nashrul mengetuai bahagian serangan skuad tersebut.

Kedah FA yang hampir membuka gol perlawanan pada minit ke 13 itu tidak kesampaian apabila percubaan pemain Kedah diselamatkan oleh palang Perlis.

Kedua-dua negeri tersebut menunjukkan aksi yang begitu garang dan berbalas serangan bagi memecahkan kebuntuan jaringan.

Perlawanan ini terus disajikan dengan aksi yang berbahaya oleh pemain Perlis, Nasri Thauhid terus dilayangkan kad merah apabila menerjah pemain Kedah dengan begitu kasar pada minit ke 34.

Kedah terus melancarkan serangan yang begitu laju selepas mempunyai kelebihan beraksi dengan lebihan satu pemain tetapi separuh masa pertama tamat dengan tanpa jaringan.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan masih mempunyai peluang untuk merobek gawang masing-masing namun ketangkasan kedua-dua penjaga gol perlu diberi pujian.

Skuad Kedah yang tampak menguasai perlawanan apabila melakukan beberapa percubaan dan serangan tajam ke gawang Perlis namun masih gagal memecahkan jaring skuad Perlis.

Perlis yang beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri menunjukkan prestasi yang bagus dan berdisiplin dengan mematahkan kesemua serangan dari pihak lawan.

Namun kesemua percubaan tidak berhasil bagi kedua-dua pasukan apabila kedua-dua negeri bermain dengan semangat berlawan yang tinggi.

Perlawanan berakhir dengan kedudukan terikat 0-0 bagi kedua-dua pasukan untuk berkongsi satu mata berharga.