Kelantan RW kembali mendapat kelulusan beraksi di Liga A1 tanpa sekatan FIFA bagi musim 2025-2026.
Pengurusan KRW yang sudah mengemukan maklum balas berhubung surat tunjuk sebab FIFA pada minggu lepas telah menarik nafas lega apabila surat tersebut sudah diluluskan.
Kelantan RW yang terlepas aksi pembukaan Liga A1 Semi-Pro disebabkan isu tersebut dijangka bakal beraksi pada minggu hadapan berikutan kelulusan dari FIFA tersebut.
Perkara ini disahkan oleh CEO Kelantan Red Warrior (KRW), Wann Fajarul bagi memberikan berita gembira kepada peminat-peminat KRW.
“Kelantan Red Warrior boleh meneruskan liga. Selepas sesi latihan pagi tadi kami mendapat perkhabaran KRW boleh meneruskan liga tanpa sekatan FIFA. Kami akan menyiapkan semua proses pendaftaran pemain-pemain. Alhamdulillah,” kata Wann Fajarul menerusi hantaran di Facebook.
Untuk makluman, pengurusan KRW telah menghantar maklum balas kepada FIFA pada 26 Julai lalu bagi memastikan isu ini tidak berpanjangan.
Pada minggu lepas, wartawan Astro Arena, Fina Nasrom telah mendapat kepastian dari bekas Presiden KRW, Nik Hafiz menafikan menerima arahan daripada FIFA berhubung isu persekatan pendaftaran pemain.
Terdahulu, pengurusan KRW telah memberikan makluman bahawa mereka tidak mempunyai sebarang hubungan bersama satu lagi pasukan dari negeri Kelantan, Kelantan FC.