Kelayakan Piala Asia Wanita B-20: Malaysia Tumpas Di Tangan Iran
MakanBola
FA MALAYSIA

Skuad Malaysia terpaksa akur dengan kekalahan 3-0 menentang pasukan Iran pada malam ini.

Malaysian Tigress yang membariskan Diana Syafiqah sebagai penjaga gol dan Dhiyaa Addin menggalas lilitan sebagai kapten.

Selain itu, Kaseh Carlmila diberi tugasan untuk mengemudi jentera serangan skuad Malaysia pada malam ini.

Sementara itu, skuad Iran atau Shirzanan telah menurunkan Atena Tofigh bagi menjaga gawang mereka manakala Maryam Dini sebagai ayam tambatan skuad Shirzanan itu.

Skuad wanita Malaysia yang dilihat menguasai 10 minit awal permainan dengan beberapa serangan dan percubaan bagi merobek gawang Iran namun tidak dapat menemui penyudah jaringan.

Berselang beberapa minit, Shirzanan berjaya memanfaatkan peluang yang dihidangkan oleh Malaysian Tigress bagi membuka akaun jaringan skuad tersebut oleh penyerang bernombor 9, Maryam Dini.

Skuad Malaysia yang tersentak dengan jaringan tersebut terus melancarkan beberapa serangan dan percubaan namun ketangkasan penjaga gol Iran harus dipuji.

Pasukan Iran terus menambah derita skuad Malaysia apabila menjaringkan jaringan kedua pada minit ke 27′ menerusi pemain yang sama, Maryam Dini.

Selepas itu, Malaysian Tigress berjaya menjaringkan gol namun kedudukan offside pemain Malaysia menjadikan jaringan tersebut dibatalkan oleh pengadil.

Kedudukan separuh masa pertama tamat 2-0 memihak kepada Iran.

Bersambung dari bilik persalinan, skuad Malaysia tidak menunggu lama untuk menyerang kubu pertahanan Iran apabila berjaya mendapat sepakan penalti hasil terjahan keras pemain Iran di dalam kotak penalti.

Namun sepakan penalti oleh pemain Malaysia gagal menerjah gawang skuad Shirzanan tersebut bagi memastikan mereka masih mendahului dua jaringan di hadapan.

Memasuki minit ke 70, Malaysian Tigress masih gagal menyudahkan jaringan bagi mendekatkan jurang jaringan di antara pasukan Iran.

Skuad Iran berjaya menambah jaringan pada masa kecederaan separuh masa kedua menerusi pemain bernombor 5, Asal Ghajarian untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka.

Aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur itu tamat dengan keputusan 3-0 memihak kepada pasukan Iran.