Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail menzahirkan rasa kagum terhadap kejayaan pasukan yang kekal fokus meraih kemenangan tanpa terpengaruh dengan perkara di luar padang.
Pada Jumaat, JDT turun melayani kunjungan Selangor dalam aksi Piala Sumbangsih yang juga pembuka tirai saingan Liga Malaysia bagi musim 2025-2026.
Persembahan cemerlang anak didik Xisco Munoz di hadapan lebih 30,000 penonton menyaksikan JDT berjaya mengatasi cabaran Selangor dengan keputusan 3-0.
Jairo Da Silva, Eddy Israfilov serta pemain sayap, Arif Aiman masing-masing melakar nama selaku penjaring untuk skuad Harimau Selatan merangkul kejuaraan Piala Sumbangsih ini.
Kejayaan menjulang Piala Sumbangsih ke-10 di laman sendiri ini turut menambah koleksi kejuaraan yang dimenangi oleh JDT kepada 31 trofi sejak tahun 2013.
Perkara ini jelas menarik perhatian Tunku Ismail yang kagum dengan pendekatan kelab milik Baginda yang kekal fokus kepada kemenangan tanpa sebarang gangguan luar padang.
“Tak heboh & tiada temu ramah berlebihan, cuma menang,” tulis Tunku Ismail di laman Instagram Baginda.

Daripada 31 trofi yang dimenangi oleh JDT ini, 11 daripadanya merupakan kejuaraan Liga Super yang dijulang berturut-turut sejak tahun 2014 selain Piala AFC yang cukup bersejarah.
JDT akan meneruskan misi dalam saingan Liga Super dengan menanti kunjungan Negeri Sembilan pada Selasa di Stadium Sultan Ibrahim.